26 Dec 2010

Kejayaan adalah "Proses"

.... cari permulaannya

Harapan kita adalah sepanjang tahun yang penuh dengan kejayaan dan kemakmuran untuk kita semua, tidak kira dalam apa jua yang kita lakukan. Semoga keyakinandan kesabaran kita semakin kuat dalam mengharungi kehidupan , dengan hadirnya perasaan cinta yang ikhlas kepada ALLAH.

Bagaimana untuk mewujudkan rasa cinta kita kepada ALLAH, banyakkan komunikasi denganNYA , samada ketika kita gembira dan berduka. Bukan setakat berdoa, tetapi berkomunikasilah dalam apa jua keadaan. Ucapkanlah rasa syukur kepadaNYA dalam apa jua keadaan, samada senang mahupun susah.

Sekiranya ketika ini kita sudah berhempas pulas dan berusaha untuk berjaya, namun masih belum menampakkan hasil, fahamilah bahawa kita masih lagi belum gagal. Jangan mudah kecewa, jangan cepat putus asa, kerana kejayaan adalah satu proses. Kejayaan adalah satu pengembaraan bukan destinasi.

Kejayaan tidak seperti kita memasak makanan segera, segalanya segera.

Tetapi kejayaan adalah satu proses. Dari proses itulah, kita dapat belajar semua yang telah dilakukan untuk mencapai kejayaan yang kita impikan.

Kejayaan adalah sesuatu yang holistik dan mencakupi spiritual, mental dan emosi.
Ketiga-tiga elemen ini memainkan peranan yang amat penting untuk berjaya, kerana itulah kita memerlukan kekuatan mental ,emosi dan spiritual untuk berjaya.

Oleh itu harapan kita semoga kita sama-sama dapat mengkaji dan terus belajar bagi memantapkan ketiga-tiga kekuatan tersebut. Mempunyai kekuatan secara mental dan tahu bagaimana untuk mengawal emosi dan mempunyai sepenuh keyakinan yang jitu hasil kekuatan spiritual yang kita miliki.

Yang pasti tanpa mempunyai kekuatan spiritual, agak sukar untuk kita mengawal emosi dan mempunyai kekuatan mental yang sebenar. Jadi perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah kembali kepada yang SATU. Itulah akar kejayaan kita yang utama, itulah sumber kekuatan kita. Itulah yang meneguhkan kesabaran kita dan itu jugalah yang menjadikan kita percaya terhadap kekuatan diri kita. Segalanya bermula kepercayaan dan keyakinan kita kepadaNYA. Itulah permulaan dan akar untuk kita terus berjaya. Segalanya adalah dengan izinNYA.

Kesusahan itu adalah rahmat, dan kesenangan itu adalah ujian

Jika ketika ini, kita berada dalam keadaan tekanan, emosi terganggu, dugaan dan cabaran datang melanda, maka kita perlu bersyukur atas apa yang berlaku. Ini kerana setiap cabaran , dugaan atau apa jua halangan yang datang , ianya akan mendekatkan diri kita kepada ALLAH.

Apa pun yang terbaik dan paling baik, dekatkan diri kita kepada ALLAH dalam apa jua keadaan, samada dikala senang atau susah. Adakalanya kesusahan itu adalah rahmat, dan kesenangan itu adalah ujian. Jadi apa yang terbaik, dekatkan diri kita kepadaNYA dalam apa jua keadaan tidak kira senang atau susah.
.............................................................................
renung-renungkanlah .......
Dalam penghidupan, pelbagai pengisian akan datang dan memasuki diri kita, apa yang pasti, jadikanlah kebaikan sebagai teladan dan yang buruk sebagai sempadan, Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri, maafkan saya, buka pintu hati, kita pasti akan memahami, terima kasih

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...